ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

5:59pm 03/06/2025
Font
Laporan OPS GASAK: Asas hala tuju penambahbaikan kepada PPKB (Pindaan) 2021
By:Armizan Mohd Ali

Semua pertimbangan ini dan syor serta pandangan pelbagai pihak akan diambil kira dalam menentukan keperluan untuk pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 yang sedang berkuat kuasa. Sekiranya pindaan adalah jawapan, perlu ditentukan bentuk parameter pindaan tersebut. Maka, laporan OPS GASAK adalah penting sebagai asas hala tuju penambahbaikan kepada PPKB (Pindaan) 2021.

Operasi Gas Memasak (OPS GASAK) sedang berlangsung dari 1 Mei hingga 31 Oktober 2025. Fokus utama adalah membanteras aktiviti haram decanting, penyeludupan dan penggunaan oleh industri berskala besar dan sederhana.

Punca kuasa perundangan kepada OPS GASAK adalah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 iaitu PPKB (Pindaan) 2021. Melalui operasi ini, tidak ada sebarang dasar dan peraturan baharu, apatah lagi pemotongan serta pemansuhan subsidi LPG sebagaimana didakwa pihak tertentu.

Terdapat isu berbangkit bagi pelaksanaan dan penguatkuasaan PPKB (Pindaan) 2021 yang terkait dengan sektor perniagaan tertentu khususnya jualan makanan dan minuman. Atas sebab itu, dalam gerak kerja OPS GASAK, pemeriksaan di premis-premis jualan makanan dan minuman adalah pada peringkat advokasi dan semakan. Tidak ada sebarang tindakan undang-undang diambil kepada perniagaan jualan makanan dan minuman.

Sebaik tamat tempoh nanti, laporan OPS GASAK akan dijadikan antara asas pertimbangan untuk mengkaji keperluan menyemak semula kesesuaian Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 berkaitan Gas Petroleum Cecair (LPG).

Sebuah jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan untuk melihat perkara ini sebaik bermulanya OPS GASAK pada 1 Mei 2025 lalu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Selain laporan OPS GASAK, syor dan pandangan daripada pelbagai pihak akan diambil kira sebelum pertimbangan dibawa kepada Jemaah Menteri.

Sebelum ini di bawah pentadbiran Kerajaan lalu, pada tahun 2021, pindaan telah dibuat terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan. Antara peruntukan pindaan adalah penetapan had sekatan kepada penggunaan dalam perdagangan atau perniagaan. Khusus berkaitan LPG, PPKB (Pindaan) 2021 telah memperuntukkan bahawa penggunaan melebihi 42 kilogram (kg) pada satu-satu masa memerlukan permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual.

Ini bermaksud mana-mana pihak yang menggunakan lebih daripada 42 kg (melebihi 3 tong bersaiz 14 kg) perlu memohon permit dan tidak boleh menggunakan silinder LPG bersubsidi. PPKB (Pindaan) 2021 telah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021.

Terdapat pandangan bahawa Peraturan 2021 tersebut membawa impak kepada kos perniagaan para peniaga jualan makanan dan minuman yang akhirnya disebutkan akan memberi kesan kepada harga jualan mereka sekiranya mereka tidak dibenarkan menggunakan tong bersubsidi.

Asas kepada subsidi LPG adalah sebagai subsidi dapur rumah rakyat. Ia adalah subsidi kepenggunaan dan bukannya subsidi perdagangan dan komersial. Walau bagaimanapun, peruntukan sedia ada membenarkan mana-mana pihak menggunakan maksimum 42 kg pada satu-satu masa tanpa memerlukan permit.

Kehendak kumpulan para peniaga jualan makanan dan minuman adalah mereka perlu menggunakan lebih daripada 3 tong LPG bersubsidi pada satu-satu masa. Sekiranya keperluan mereka ingin dipertimbangkan, pindaan perlu dibuat kepada Peraturan tahun 2021 yang menetapkan had 42 kg pada satu-satu masa.

Pertimbangan juga perlu mengambil pelbagai faktor, antaranya; jumlah had tong bersubsidi untuk setiap perniagaan dan jenis serta skala perniagaan (mikro, kecil, sederhana, besar).

Begitu juga, jika harga makanan dan kos sara hidup rakyat dijadikan alasan, faktor harga makanan dan minuman yang dijual oleh perniagaan tersebut wajar diteliti. Sebagai contoh, ada peniaga menjual nasi ayam dengan harga RM8 sepinggan dan ada pula yang menjual sehingga melebihi RM20 sepinggan. Harga jauh berbeza sedangkan kesemuanya memanfaatkan subsidi rakyat yang sama.

Seperkara yang juga amat penting untuk dipertimbangkan adalah implikasi kewangan yang diperlukan daripada peruntukan Kerajaan yang merupakan dana awam dan duit rakyat. Misalnya, pengiraan kasar jumlah subsidi LPG yang diberikan kepada perniagaan yang menggunakan 5 tong gas memasak LPG sehari untuk sebulan adalah RM6,510 iaitu RM43.40 subsidi bagi setiap tong. Manakala, jumlah subsidi bagi perniagaan yang menggunakan 10 tong LPG sehari adalah sebanyak RM13,020 sebulan iaitu bagi keseluruhan 300 tong sebulan.

Pada masa yang sama, elemen kawalan dalam aspek mekanisme pemantauan termasuk keperluan permit barang kawalan berjadual juga amat penting untuk diambil kira. Ini kerana berdasarkan penguatkuasaan KPDN, terdapat risiko aktiviti haram decanting menggunakan sumber bekalan daripada penjualan kepada premis perniagaan apabila tidak wujudnya elemen rekod dan had penjualan sebagai asas semakan.

Decanting adalah aktiviti haram pemindahan LPG dari tong bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi untuk jualan komersial di bawah harga pasaran termasuk untuk penyeludupan ke luar sempadan.

Semua pertimbangan ini dan syor serta pandangan pelbagai pihak akan diambil kira dalam menentukan keperluan untuk pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 yang sedang berkuat kuasa. Sekiranya pindaan adalah jawapan, perlu ditentukan bentuk parameter pindaan tersebut. Maka, laporan OPS GASAK adalah penting sebagai asas hala tuju penambahbaikan kepada PPKB (Pindaan) 2021.

(ARMIZAN MOHD ALI ialah  Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.)

ADVERTISEMENT

“OPS GASAK”
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
Armizan Mohd Ali

ADVERTISEMENT

1 d ago
2 d ago

Read More

ADVERTISEMENT